Tuesday, June 7, 2011

Pengungsi


kau tinggalkan bumi suburmu
lalu kau mengungsi ke kota
kerana rindumu ada di bawah neon.

hatimu tiada di desa. tapi
bukan gersang tanah
bukan kehilangan cinta.
kau gilai nafas kota
dari rayuan berita
kerana ingin dapat kerja
inginkan kehangatan udaranya.

tiada salahmu kalau
tanah desamu berhutan
di sekolah kau bukan diajar berladang.
tiada salahmu kau ke mari
bukan desamu kekurangan ladang
kau ke mari dengan harapan kerja
hanya kerana kau sedar
hasil pulang bertambah kurang.

kau ke mari mengukur jalan
kerana ingin sangat punya pekerjaan
kau ke mari di tengah jalan
kota ini belantara pengelutan.

sajak-Awang Had 1975

No comments:

Post a Comment