Tuesday, June 7, 2011

Sejarah DEKON MAKUM

Deklamasi Lakon atau lebih dikenali sebagai Dekon berasal dari dua perkataan iaitu deklamasi dan lakon. Ia telah diilhamkan oleh Sasterawan Negara Dato A. Samad Said melalui penulisan novel Lazri Meon. Kemunculan idea untuk membuat `dekon’ ini ialah ketika A. Samad Said diminta untuk memberi ceramah mengenai karya novel terbarunya Daerah Zeni. Beliau seringkali memikirkan cara untuk khalayak menikmati karya-karya ciptaannya.

DEKON merupakan idea yang digagaskan melalui salah satu aktiviti Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) pada tahun 2001 yang melibatkan penyertaan Mahasiswa/i dari IPTA Malaysia. Sepanjang tempoh tiga (3) tahun 2001-2003, kegiatan Dekon telah terlaksana dengan jayanya. Namun begitu, kegiatan Dekon ini telah terhenti selepas tahun 2003. Walaubagaimanapun pada tahun 2008, Sekolah Pengajian Seni bercadang untuk menghidupkan semula kegiatan Dekon dengan penganjuran Festival DEKON MAKUM IPTA 2009.

Deklamasi atau diistilahkan sebagai pengucapan bahasa secara puitis amat berkait rapat dengan persembahan lakon pentas. Lakon pula melibatkan aksi, gerak dan penafsiran serta olahan skrip dari bentuk tulisan kepada bentuk lakonan pentas adalah merupakan medium pengajaran secara langsung yang boleh diaplikasikan oleh pendidik untuk meningkatkan pembelajaran. Justeru, DEKON merupakan satu proses kepada mahasiswa/i untuk membentuk keyakinan diri, melahirkan individu yang kreatif, merangsang pemikiran yang berintelektual dan berinovatif, malah melatih pelajar mengaplikasikan pengurusan teknikal secara praktikal disamping mengurus organisasi lebih efisen dan bermutu tinggi. Oleh itu, bagi menambah pengetahuan am serta mengembangkan minat di kalangan mahasiswa/i dalam bidang teater, aktiviti DEKON telah dirancang oleh mahasiswa/i Sekolah Pengajian Seni (SPS) Universiti Malaysia Sabah.

No comments:

Post a Comment